Dalam Negeri
Faktor pencapaian cemerlang sekolah-sekolah terbaik PMR

Kolej Tunku Kurshiah, pencapaian terbaik PMR 2001

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Persediaan awal, perancangan teliti dan permuafakatan antara sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa merupakan antara faktor pencapaian cemerlang beberapa sekolah terbaik dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan, Rokiah Alias berkata, sekolah membuat persiapan awal untuk menghadapi peperiksaan PMR mulai tingkatan satu.

Pada tahun ini, katanya, sebanyak 88.7 peratus pelajarnya mendapat semua A dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, dalam tempoh itu, pihak sekolah boleh mengenal pasti pelajar yang lemah dan kuat dalam mata pelajaran tertentu.

`Pelajar-pelajar yang lemah akan dibantu oleh pelajar cemerlang dan guru-guru dari semasa ke semasa.

`Sekolah juga memberi tumpuan pada mata pelajaran yang mencatatkan pencapaian agak kurang baik pada peperiksaan PMR tahun lalu,'' katanya kepada pemberita selepas majlis mengumumkan keputusan peperiksaan PMR tahun ini oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat di sini, hari ini.

Formula kejayaan lain kolej itu menurut Rokiah ialah pihaknya turut mewujudkan permuafakatan antara sekolah, guru, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengetua Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur, Md. Yusoff Othman pula bersyukur apabila pencapaian peperiksaan PMR sekolah itu terus meningkat.

Pada tahun ini, katanya, sebanyak 79.7 peratus pelajarnya mendapat semua A dalam semua mata pelajaran berbanding 77.88 peratus tahun lalu.

Mengulas formula kejayaan, menurutnya, sekolah sentiasa mengambil berat soal disiplin pelajar dan aktiviti kokurikulum.

Beliau berkata, program Rakan Sebaya diadakan untuk meningkatkan disiplin pelajar sekali gus mencapai disiplin sifar di sekolah itu.

Selain itu, katanya, program yang turut diadakan bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar ialah motivasi dan Murid Ku Sayang.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, Limah Ahmad pula berkata, pelaksanaan konsep pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang digabung secara bersepadu menggunakan pendekatan dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) berjaya membantu sekolah itu memperoleh keputusan PMR yang memberangsangkan.

``Teknologi maklumat iaitu komputer yang boleh mengakses Internet digunakan sepenuhnya oleh para guru dan pelajar untuk menambah maklumat,'' katanya sambil memberitahu sekolahnya kini mempunyai 55 buah komputer.

Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Alimuddin Mohd Dom berkata, sebanyak 90 daripada 117 pelajarnya yang menduduki PMR tahun ini memperoleh semua A dalam lapan mata pelajaran.

``Ini memperlihatkan peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding tahun lalu,'' katanya.

Keputusan Keseluruhan PMR 2001