Kolej Tunku Kursiah johan Pertandingan Inovasi Sains Intel

PELAJAR Kolej Tunku Kursiah Seremban (dari kiri) Wan Nurhayati,
Nurul Atika dan Salma Yasmin menjuarai Pertandingan Sains dan
Teknologi Intel peringkat kebangsaan di Pulau Pinang.
GEORGETOWN, Isnin – Kolej Tunku Kursiah, Negeri Sembilan muncul
johan Pertandingan Inovasi Sains Intel Peringkat Kebangsaan 2001, sekali
gus mewakili Malaysia ke Pameran Sains dan Kejuruteraan Intel Antarabangsa
di San Jose, California, Amerika Syarikat, pada 6 hingga 12 Mei ini.
Kolej itu yang diwakili Salma Yasmin Mohd Yusuf, Nurul Atiqah Ali dan Wan
Nurhayati Wan Muhammad, turut memenangi komputer peribadi Intel Pentium
III, pengimbas, pencetak dan wang tunai RM1,500.
Ketiga-tiga mereka diumumkan sebagai pemenang pertama kategori kumpulan/individu
pertandingan itu, dengan menghasilkan projek ‘Kipas Auto Terma’ yang berfungsi
mengawal kelajuan kipas berdasarkan suhu bilik.
Salma Yasmin yang juga ketua kumpulan itu, berkata masalah pelajar yang
terganggu apabila berada di kelas kerana terpaksa mengubah kelajuan kipas
angin mengikut suhu cuaca sekeliling memberi idea kepada mereka untuk menghasilkan
projek sains itu.
Katanya, mereka mengambil masa selama setahun untuk mencipta kipas yang
boleh mengubah kelajuan secara automatik berdasarkan suhu bilik.
Beliau berkata, kumpulan itu membelanjakan RM50 hingga RM60 untuk membeli
pelbagai peralatan tambahan yang digunakan untuk mengubahsuai kipas berkenaan.
“Kami akan melakukan yang terbaik di San Jose, Amerika Syarikat, kelak
dan berharap dapat menimba pengetahuan daripada peserta dari 40 negara
yang menyertai pameran itu,” katanya.
Kolej Tunku Kursiah sebelum ini pernah menjadi johan Pertandingan Inovasi
Sains Kebangsaan kategori kejuruteraan tahun lalu dengan menghasilkan projek
yang sama.
Naib johan kategori itu dimenangi kumpulan dari Sekolah Menengah Convent
Bukit Nenas, Kuala Lumpur, melalui projek pengurangan tahap kolestrol.
Sekolah itu diwakili yang R Sasikaladevi, Chan Giat Yeng dan Ong Mei Ling
memenangi komputer peribadi Intel Pentium III, pengimbas dan wang tunai
RM1,200.
Tempat ketiga pula jatuh kepada Lim Fang Yun, 15 dari Sekolah Menengah
Kebangsaan Sultan Ismail II, Kemaman, Terengganu. Beliau akan turut mengiringi
pelajar Kolej Tunku Kursiah ke San Jose, California.
Lim yang pertama kali memenangi pertandingan itu menghasilkan projek pengukuhan
minyak kelapa sawit yang ditapis menggunakan vitamin E, menerima sebuah
komputer peribadi Intel Pentium III dan wang tunai RM900.
Sementara itu, anugerah Kecemerlangan Pengajaran Sains disandang guru Sekolah
Menengah Kebangsaan Sultan Ismail II, Kemaman, Terengganu, Foo Kian Wah,
yang menerima wang tunai RM1,000 dan akan turut ke pameran di Amerika Syarikat.
Semua hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pendidikan
dan Pembangunan Sumber Manusia (Sains dan Teknologi) negeri, Datuk Dr Toh
Kin Woon. Turut hadir, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Intel Malaysia,
Wong Siew Hai.
|
|